mutakhir

Majlis perkahwinanku di pasar tani

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Larangan mengadakan majlis di kawasan sempit yang menyukarkan penjarakan fizikal menyebabkan sepasang pengantin di sini, meraikan hari bahagia mereka di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini, hari ini.

Nur Syuraya Ramli, 21, dan pasangannya, Muhd Safuan Muhd Azli, 25, memilih lokasi itu demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sudah ditamatkan, semalam.

Kata Nur Syuraya dari Kampung Alor Keladi, Langgar, ibu bapanya yang sudah 20 tahun berniaga di pasar tani itu juga antara sebab mereka memilih mengadakan majlis di pasar tani.

"Disebabkan perlu menjaga SOP termasuk mengehadkan jumlah tetamu yang hadir, maka tetamu kebanyakannya adalah rakan niaga ibu ayah di pasar tani.

"Selepas akad nikah Jumaat lalu, kami buat keputusan adakan sambutan ringkas meraikan kami di pasar tani dan memakai busana pengantin untuk hidupkan suasana," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bapa Nur Syuraya, Ramli Ahmad, 51, berkata, dia gembira majlis di pasar tani itu berjalan lancar, sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan sesama peniaga.

"Peniaga di sini sudah seperti keluarga, sebab itu terasa ralat kalau mereka tidak ada bersama-sama meraikan perkahwinan anak kami.

"Saya dan isteri (Sarina Ibrahim, 50) juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang bergotong-royong memasak untuk majlis ini," katanya.

Mereka mula memasak seawal 4.30 pagi sebelum makanan itu dipek sebanyak 800 bungkus dan diedarkan kepada semua tetamu dan pelanggan pasar tani mulai 11 pagi.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 4:43pm
d