mutakhir

Demi kelangsungan

Oleh Wartawan Harian Metro

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, membawa khabar gembira buat semua pihak ketika negara kini mendepani pandemik Covid-19 yang bukan saja menjejaskan ekonomi malah turut memberi kesan kepada kehidupan rakyat pelbagai peringkat.

Bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' ia amat diperlukan berikutan negara kini berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

Belanjawan terbesar membabitkan RM322.5 bilion diumumkan itu turut mengambil kira nasib pelbagai lapisan masyar-akat termasuk golongan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang, belia, wanita, peniaga kecil dan besar.

Daripada jumlah berkenaan, kerajaan memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19 manakala baki RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

Metro Ahad mendapatkan pandangan rakyat dari pelbagai peringkat berhubung usaha kerajaan ini bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terjamin ketika menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini.

Abdullah Idris, 48, Kedah. Penoreh getah

"Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang ditambah sekali ganda akan membantu menambah pendapatan penoreh getah seperti saya berikutan harga komoditi ini tidak stabil.

"Sekarang pasaran harga getah agak baik tapi cuaca tidak mengizinkan untuk kami memperoleh pendapatan yang baik secara berterusan.

"Setiap bulan berpendapatan saya tidak sampai RM1,000 sebulan dan kadang-kadang hendak capai RM500 pun sukar kerana hujan."

Kang Ngee Giok, 72, Kelantan. Peniaga kedai kek

"Kenaikan bantuan kepada warga emas daripada RM350 kepada RM500 mampu mengurangkan beban saya bagi menampung kos perubatan untuk penyakit darah tinggi.

"Selain bantuan Prihatin Rakyat dinaikkan ke RM1,800 dapat membantu saya dan anak cucu meneruskan kelangsungan hidup kerana sejak wabak Covid-19, perniagaan kedai kek saya turut terjejas sehingga nak bayar bil elektrik pun kena tambah duit lain, dengan inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan kos hidup.

"Saya juga setuju bantuan kepada golongan bujang diturunkan daripada usia 40 tahun kepada 21 tahun kerana cucu juga boleh dapat."

Kamaruzaman Mohd Asri,35, Kelantan. Penternak arnab

"Saya mula menternak arnab bulan Mac lalu bagi menam-bah pendapatan dengan modal sendiri sebanyak RM1,500 yang dibantu adik. Sebaik belanjawan 2021 dibentang, kami lihat banyak peluang untuk penternak termasuk peruntukan RM4.79 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukkan kerajaan serius dalam membantu penguasaha mengeluarkan keperluan makanan sendiri seperti kami yang membekalkan daging arnab kepada industri dan pasaran ini mampu berkembang kerana bermula 11 ekor kini kami mampu menternak 150 ekor arnab termasuk menjual daging dan induk."

Embong Che Mat, 65, Terengganu. Nelayan

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengembalikan semula elaun sara hidup yang dipotong kerajaan terdahulu.

"Elaun ini sangat bermakna bagi kami golongan nelayan tambahan pula sekarang musim tengkujuh, nelayan tidak dapat ke laut dan duit bantuan inilah yang kami guna untuk sepanjang musim tengkujuh."Memandangkan keadaan sekarang, kalau boleh menambah sedikit lagi jumlah bantuan dari RM300 kepada RM350 atau RM400, tetapi itu hanya pandangan saya memandangkan kos sara hidup sekarang tinggi, apa pun dengan bantuan yang diberikan ini, saya bersyukur."

J Sivarajan, 33, Perak. Kakitangan kerajaan

"Insentif RM180 untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi tujuan akses internet dan alat peranti pintar membantu murid dalam pembelajaran.

"Insentif Jendela ini membolehkan murid atau pelajar bukan sahaja dapat belajar secara formal di sekolah tetapi boleh juga mengulangkaji pelajaran dan menambah ilmu pengetahuan menerusi akses internet melalui alat peranti pintar."Namun, ibu bapa perlu pantau laman sesawang dilayari oleh anak mereka dan pastikan anak mereka memanfaat insentif ini bagi tujuan pembelajaran demi masa depan."

Nas Asrinaa Nasri, 18, Pahang. Guru tadika

"Inisiatif SBST yang diumumkan kerajaan diyakini membantu rakyat terutama mereka yang menggunakan pengangku-tan awam itu.

"Dengan adanya inisiatif ini juga memberikan manfaat dan orang ramai dijangka lebih menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan lain.

"Pada masa sama akan mengelakkan kesesakan sekali gus melancarkan aliran trafik."

Nor Khaizah Yusoff, 55, Selangor. Suri rumah

"Pengecualian cukai kesihatan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 perlu dirasai semua pihak dan berharap tiada siapa yang terpinggir.

"Apabila diumumkan pengecualian cukai kesihatan itu, ia melegakan dan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggu-ng terutamanya mereka yang sakit.

"Pengecualian cukai itu menunjukkan kerajaan prihatin dan peka dengan keadaan yang dialami rakyat."

Norul Huda Abdul Hadi, 42, Kuala Lumpur. Pengusaha Biskut dan Laksalicious Setapak

"Insentif diberikan kerajaan ini mampu meneruskan kelangsungan perniagaan kami, bukan mudah untuk mengekalkan perniagaan dan membayar gaji pekerja dalam keadaan sukar ini. Diharap bantuan kerajaan disalurkan kepada majikan ini dapat mengelak penutu-pan perniagaan berskala besar dan menghindari pemberhentian pekerja. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib kami sebagai peniaga dalam Belanjawan 2021."

Dr Hanafi Yahya,37, Perak. Naib Yang Di Pertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River

"Kita sedia maklum bukan semua murid di sekolah bandar atau luar bandar mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza dan bagi keluarga yang kurang mampu mereka lebih mengutamakan keperluan asas bagi kelangsungan hidup.

"Pemberian susu setiap hari kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah bukan sahaja memberi kelegaan kepada golongan terbabit, malah membantu meningkatkan perkembangan mental dan fizikal murid."

Suki Khor Sock Khim,41, Kuala Lumpur. Pengarah Urusan NCK Management Sdn Bhd

"Bantuan kerajaan sangat diperlukan sekarang bagi mengekalkan perniagaan saya dan suami. Saya akui ini adalah masa yang paling sukar buat kami untuk terus bertahan selepas perniagaan pekerja asing ditangguhkan menyebabkan saya kini beralih kepada penjualan produk kecantikan. Walaupun sukar untuk perniagaan kami, namun masih lagi bertahan dengan pelbagai bantuan diberikan kerajaan."

Muhamad Hamizan Jamil, 29, Selangor. Kakitangan swasta

"Pengecualian cukai kesihatan diumumkan dalam Belanjawan 2021 menggembirakan pelbagai pihak terutama golongan kurang berkemampuan.

"Bagi saya, pengecualian cukai ini dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh orang yang tidak mampu dari segi kewangan.

"Namun, dalam masa sama, kerajaan juga perlu menaik taraf servis di setiap pusat perubatan terutamanya di luar bandar dan tidak berada di tahap sebelumnya."

Mohd Hafiz Sorani, 29, Kuala Lumpur. Pemilik Restoran Debob Coffee

"Alhamdulillah, dengan subsidi upah diberi kerajaan perniagaan saya masih bertahan tanpa perlu membuang pekerja. Saya mempunyai 10 pekerja ketika ini dan subsidi upah ini sangat membantu usahawan terkesan seperti saya berikutan kesan pandemik ini. Untuk tiga bulan pertama saya menerima subsidi RM1,200 manakala tiga bulan seterusnya RM600, terima kasih kepada kerajaan yang prihatin."

Zarinah Mohideen, 44, Kuala Lumpur. Pemilik Zarlith Events And Management Sdn Bhd

"Memang sangat bermanfaat dan membantu buat saya yang mempunyai lebih 300 pekerja ini dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19. Bukan mudah untuk saya bertahan dalam perniagaan yang sudah dibina hampir 22 tahun ini, namun mujur saya mempunyai kakitangan yang sangat memahami kesukaran dihadapi. Subsidi upah yang diberikan kerajaan ini sangat membantu saya sebagai majikan demi meneruskan kelangsungan perniagaan yang dibina, saya perlu berterima kasih kepada kerajaan dan sudah pun memohon kepada Perkeso."

Shaiful Zahari Mat Lajis, 51, Selangor. Pengusaha kedai makan

"Belanjawan 2021 memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya yang membabitkan kesihatan.

"Saya melihat pengecualian cukai kesihatan yang diberikan kerajaan pada belanjawan kali ini lebih menjurus kepada golongan sasar (B40 dan M40).

"Sebagai rakyat, kami berterima kasih dengan kerajaan yang prihatin dengan nasib menimpa rakyat ketika negara dilanda Covid-19."

Dr Zenty Erma Zakaria, 38, Putrajaya. Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM)(Doktor Pergigian Tentera)

"Terima kasih kepada kerajaan dengan bantuan diberikan ini kerana kami tidak pernah dilupakan setiap kali belanjawan dibentangkan.

"Pada pendapat saya, bantuan 'one off' daripada kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu kakitangan awam dan pesara dalam menghadapi kehidupan yg mencabar ini terutamanya dengan Covid-19.

"Bagaimanapun, bantuan berkenaan perlulah digunakan secara berhemah supaya ia dapat memberi manfaat pada keluarga khasnya."

Pitah Taha, 56, Johor. Timbalan Pengerusi Homestay Tanjung Piai

"Sebagai pengusaha homestay yang terjejas saya bersyukur kerajaan tidak melupakan sektor perlancangon yang terjejas teruk.

"Peruntukan RM50 juta yang disediakan bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongandi seluruh negara seperti diumumkan Belanjawan 2021 berkenaan sangat dialu-alukan.

"Alhamdulillah kerajaan menjaga sektor pelancongan negara dan peruntukan diumumkan berkenaan sudah pasti akan membantu pengusaha pelancongan tempatan untuk lebih berdaya saing dan bertahan."

Mirza Dzalmira Miraz, 36, Sarawak. Penjawat awam

"Secara amnya, keperluan asas seperti infrastruktur air, bekalan elektrik, jalan raya, malah perkhidmatan kesihatan dan sekolah dilihat sedang rancak dibangunkan di seluruh pelusuk negeri Sarawak.

"Saya berharap, dengan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan itu, ia diberi perhatian lebih di kawasan luar bandar bagi mengimbangi keperluan rakyat di bandar dan luar bandar. "Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang begitu komited dalam menaik taraf kemudahan demi memastikan kehidupan rakyat yang lebih selesa."

Surdin Dulapah, 35, Sabah. Penolong Pegawai Tadbir Fakulti Perniagaan, Ekonomidan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS)

"Peruntukan berkenaan pastinya antara perkara dinantikan rakyat Sabah dan menunjukkan keprihatinan kerajaan Persekutuan kepada seluruh rakyat di negeri berkenaan.

"Masih banyak kawasan sekitar negeri khususnya pedalaman serta luar bandar yang belum mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap termasuklah bekalan air paip bersih, bekalan elektrik dan jalan raya berturap.

"Dengan adanya peruntukan diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021, saya berharap masalah berkaitan kemudahan asas ini dapat segera diselesaikan dalam memastikan semua rakyat memperoleh keselesaanselayaknya."

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 5:15pm
d