mutakhir

Bencana banjir terburuk sejak 14 tahun lalu

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: "Dalam tempoh 14 tahun, inilah kejadian banjir terburuk terpaksa tempuhi. Namun kami tetap reda dan bersyukur," ujar mangsa banjir, Ramlan Mansor, 58.

Katanya, hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi Jumaat lalu menyebabkan rumahnya di Kampung Busut Licin, Ayer Molek di sini, dinaiki air setinggi hampir 1 meter.

Menurutnya, dia, isteri dan lima anak terpaksa berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek di sini.

Menurutnya, bencana itu menyebabkan kerosakan perabot dan perkakas elektrik di dalam kediamannya yang gagal diselamatkan.

Beliau berkata, sehingga kini air banjir masih memenuhi bahagian dalam kediamannya.

"Apapun, kami bersyukur berikutan semua keperluan disediakan termasuk tempat tidur di PPS berkenaan. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu," katanya tadi.

Seorang lagi mangsa, Mohd Ali Abd Rahman ,54 berkata, dia bersama ahli keluarganya termasuk adik dan abang iparnya turut ditempatkan di PPS berkenaan.

"Saya bersyukur keluarga kami selamat. Malah salah seorang abang saya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

turut dipindahkan ke PPS ini.

"PPS berkenaan itu kini menempatkan 29 keluarga membabitkan 105 mangsa termasuk dua bayi," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 6:16pm
d