mutakhir

Langgar lari, polis buru pemandu Proton Wira

Oleh Melvin Joni

Padawan: Polis memburu pemandu Proton Wira yang terbabit dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Matang-Malihah, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pemandu kereta terbabit melarikan diri selepas terbabit kemalangan dengan Perodua Viva dan motosikal ditunggang mangsa.

Katanya, dalam kejadian dilaporkan berlaku jam 8.17 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Joseph Aw, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

"Siasatan awal mendapati pemandu Proton Wira terbabit memotong Perodua Viva sebelum memasuki laluan secara mengejut sehingga melanggar bahagian hadapan Perodua Viva dan penunggang motosikal.

"Akibat kejadian, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nur Alif Abd Rahman di talian 017-246 4933 atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan William Willie di talian 013-817 6960 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 6:36pm
d