mutakhir

Pasar malam dibadai ribut

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Pengunjung dan peniaga Pasar Malam Batu Anam di sini, panik seketika selepas dilanda ribut petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menjejaskan hampir semua perniagaan di pasar malam berkenaan apabila khemah dan barangan peniga diterbangkan angin.

Seorang pengunjung, Zulkifli Abd Rahman, 49, berkata kejadian berlaku ketika dia baru tiba di pasar malam bersama isterinya.

"Tiba-tiba hujan lebat dan tidak lama kemudian angin kuat melanda menyebabkan banyak khemah dan kelengkapan serta barangan peniaga diterbangkan angin.

"Saya dan isteri berlari mencari perlindungan di bangunan berdekatan. Mujur khemah yang diterbangkan tidak menghempap pengunjung," katanya.

Peniaga kuih, Maimunah Hussin, 52, berkata selain khemah dan kelengkapan gerai, pelbagai kuih-muih yang dijualnya rosak diterbangkan angin kuat dalam kejadian itu.

"Namun nasib baik tidak ada yang cedera dihempap khemah yang diterbangkan angin kuat," katanya.

#kw ribut, pasar malam, panik, Segamat

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 8:15pm
d