mutakhir

Tiada keperluan dedah laporan JKKKMA63 kepada umum [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) didedahkan kepada umum buat masa ini.

Ini kerana isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan masih dalam proses rundingan antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, sebanyak 21 perkara atau tuntutan dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk dikaji, disemak dan dibincangkan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 17 perkara sudah dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama untuk perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Daripada 17 perkara itu pula, sebanyak tiga perkara dianggap selesai sepenuhnya manakala baki 14 perkara lagi memerlukan tindakan lanjut untuk dilaksanakan," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang (RUU) di parlimen hari ini.

Menurutnya, tiga perkara yang diselesaikan itu adalah tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan juga di Sabah dan isu pertanian dan perhutanan.

Katanya, empat perkara lain iaitu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua masih di peringkat perbincangan lanjut di antara Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Menteri Sabah secara berasingan.

"Ini akan terus diurus oleh Majlis Khas bagi memantau tindakan ke atas perkara yang perlu diselesaikan.

"Majlis Khas ini dianggotai oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan lapan Menteri Kerajaan Persekutuan serta pegawai tertinggi Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Majlis Khas akan mengadakan mesyuarat pertama pada 30 November ini," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 2:10pm
d