mutakhir

Seorang maut, dua parah motosikal bertembung

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang lelaki maut sejurus motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan di lampu isyarat di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 26 di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, mangsa yang maut dikenali sebagai Azinor Isma Salim, 40.

Manakala mangsa yang parah, Mohd Azirul Hanafie Omar, 21 menunggang motosikal bersama seorang wanita warga Indonesia dikenali Wijayantidiyahayu, 22.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa yang maut datang dari arah Puchong dan dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Seksyen 15, Shah Alam.

"Sebaik sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat, motosikal Azinor Isma bertembung dengan motosikal Mohd Azirul Hanafie yang ketika itu sedang membelok ke kanan di lampu isyarat berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan Azinor Isma maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Mohd Azirul Hanafie bersama pembonceng motosikalnya pula mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 3:49pm
d