mutakhir

Imigresen Kelantan buat pertukaran kakitangan berkala [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Hanya bertugas untuk tempoh tiga ke lima tahun sebelum ditukarkan ke unit atau bahagian lain.

Tindakan itu diambil Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan ke atas anggota dan pegawainya bagi menjamin integriti sekali gus mengelak salah guna kuasa terutama dalam urusan keluar masuk sempadan negara.

Pengarahnya, Azhar Abd Hamid berkata, pihaknya turut membangunkan unit khas memantau tugasan pegawai dan anggota dan setakat ini tidak mengesan sebarang kegiatan mencurigakan atau salah guna kuasa.

"Kita laksanakan pertukaran contohnya daripada penguatkuasaan ke bahagian visa atau pas/pasport, dan pertukaran terbaharu pada 16 November lalu membabitkan 42 kakitangan di seluruh negeri.

"Mereka tidak akan kekal di satu tempat sahaja walaupun tidak menimbulkan masalah demi mengelak mereka selesa dan kita juga tidak mahu membuka peluang kepada perbuatan yang menjurus kepada hilangnya integriti dalam tugas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar juga memberitahu ketika ini hanya Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sahaja yang beroperasi, namun pergerakan keluar masuk itu hanya membabitkan kenderaan komersil yang berkait sektor penting.

Katanya, permohonan pembukaan ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga Tanah Merah pula belum dipertimbangkan.

"Jika dibuka sekalipun hanya untuk kenderaan komersil sahaja, bukan tujuan lain," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pemalsuan cap keluar masuk warga asing melalui pintu masuk utama negara, susulan penahanan 34 pegawai JIM dan pihak lain menerusi Op Selat.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 4:47pm
d