mutakhir

Harga bawang besar India melambung [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Harga bawang besar India di sekitar bandar raya ini meningkat hampir lima kali ganda berikutan kekurangan stok sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di pasar awam dan kedai runcit di kawasan Kampung Melayu Majidee mendapati peniaga tidak lagi mempunyai stok bawang besar India untuk dijual.

Keadaan itu sekali gus menjadikan harganya mahal berbanding biasa apabila satu guni lima kilogram bawang besar India kini dijual RM26.90 berbanding antara RM13 hingga RM16 sebelum ini.

Peniaga kedai runcit, Muhd Ridzuan Ismail, 28, berkata harga bawang besar India meningkat mendadak sejak tiga minggu lalu.

Katanya, sebelum ini harga bawang besar India dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram namun ia meningkat kepada RM8 sekilogram, sejak tiga minggu lalu.

"Kedai saya pun terputus bekalan bawang besar India seminggu lalu dan kini yang sampai pun sangat sikit berbanding dahulu.

"Jika dulu, ada guni dua kilogram dan 10 kilogram namun kini bekalan bawang besar India hanya ada beg guni lima kilogram sahaja dan ini pun hanya ada kurang lapan guni yang tinggal.

"Tiga bulan lalu harga satu guni lima kilogram bawang besar India dijual di bawah RM10 namun kini melonjak kepada RM26.90. Ramai juga pengguna merungut, tapi saya pun tidak boleh berbuat apa-apa kerana harganya memang melonjak naik daripada pembekal," katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan menerima laporan daripada pengguna hanya bawang India sahaja yang harganya meningkat kerana bekalan bawang dari negara itu dilaporkan agak berkurangan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, ia berikutan kebanyakan kawasan pengeluar bawang di India sedang menghadapi bencana banjir menyebabkan bekalan bawang daripada India terjejas.

Sementara itu, peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Zalia berkata, harga bawang besar India yang melonjak membuatkan peniaga sepertinya terjejas dan menanggung kesannya.

"Memang harga bawang besar sangat mahal di semua tempat, tak boleh nak buat apa. Saya pun terpaksa menaikkan sedikit harga makanan disebabkan kos bahan mentah meningkat.

"Ada pelanggan faham, namun ada juga pelanggan yang mengatakan kami mengambil kesempatan untuk menaikkan harga," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 5:48pm
d