mutakhir

SPRM kesan tiga suspek kes cap palsu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penyalahgunaan pengesahan cap keluar dan masuk di sempadan utama negara.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, lelaki pertama, Clement Chen Wei Chien, 35, mempunyai alamat terakhir di 12A, Jalan Mandarina Second Enclave, 56000 Cheras, Kuala Lumpur dan No. 20 Canary Residensi, Jalan CH 5B, Taman Cheras, Hartamas Batu 9, Cheras.

"Sementara itu lelaki kedua, Ong Bok Hay, 66, mempunyai tiga alamat terakhir iaitu di A-11-3 Villa Angsana Condo 56 Jalan Krian Off Jalan Ipoh, 51100 Kuala Lumpur; A-16-3A, One Sentul Condominium, Jalan Sentul Ria 1,Kuala Lumpur dan No 10, USJ 3/4F Subang Jaya, 47600 Subang Jaya, Selangor.

"Dalam pada itu, SPRM turut mengesan seorang wanita, Ho Lei Kiow, 47, yang mempunyai alamat terakhir di No 76, Jalan Bukit Flora 3, Taman Bukit Flora, 83000 Batu Pahat, Johor," katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Amirul Ikhwan Selamat di talian 016-509 8947.

SPRM sebelum ini mendedahkan, lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diagihkan dalam kalangan kakitangan JIM sepanjang tempoh empat tahun.

Angka itu diperoleh hasil penahanan 27 anggota dan pegawai JIM yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses penyediaan kaunter khas sejak 2017.

Wang tunai RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi turut dirampas yang mana jumlah berkenaan tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang turut dirampas.

Secara purata, setiap tahun sejak empat tahun lalu, RM3.6 juta diagih sesama anggota dan pegawai JIM yang terbabit dengan sindiket ini.

Kemewahan kakitangan JIM yang terbabit dengan sindiket juga amat ketara berikutan mereka menggunakan wang rasuah diterima untuk membeli rumah, kereta, beg tangan berjenama, barangan kemas dan tanah.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 7:33pm
d