mutakhir

Ibu hamil 34 minggu redah banjir bersama tiga anak [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Wanita hamil 34 minggu terpaksa meredah air bersama tiga anaknya selepas kediaman mereka di Taman Murni Permai, di sini, dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam.

Haslini Mohd @ Hashim, 34, antara 151 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal.

Ketika kejadian, hanya Haslini bersama tiga anak berusia antara empat hingga tujuh tahun berada di rumah manakala suaminya, Azizi Mohamad, 37, yang juga seorang anggota polis bantuan sedang bertugas.

Haslini berkata, dia bersama keluarga sudah membuat persiapan awal dengan memindahkan barangan ke tempat selamat kerana biasa dengan kehadiran musim tengkujuh.

"Saya tinggal di sini sejak kecil dan memang kawasan ini akan dinaiki air cuma antara perlu berpindah atau sebaliknya.

"Rumah mula dinaiki air sejak petang semalam dan kami mula berpindah selepas solat Isyak.

"Memang biasa berpindah ke PPS, cuma kali penat kerana ketika berpindah suami bekerja menyebabkan saya terpaksa menguruskan anak sendirian," katanya.

Haslini berkata, sebelum ini, dia pernah ditempatkan di PPS ketika sarat mengandung anak keduanya, Alif Saifullah, 5, ketika banjir besar pada 2014.

Katanya, sebaik dibenarkan keluar dari PPS, dia dimasukkan ke hospital dan selamat melahirkan Alif pada Januari 2015.

Selain keluarga Haslini, ibunya, Zabidah Umar, 66, serta adik perempuan bersama suami dan dua anak mereka yang tinggal di kawasan perumahan sama turut berada di PPS SK Tok Jembal.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 1:16pm
d