mutakhir

Padah jual daging haiwan liar

Oleh Melvin Joni

Kuching: Empat lelaki ditangkap ketika cuba membawa daging beberapa jenis hidupan liar dari Kapit untuk dijual ke pasaran luar di negeri ini.

Mereka ditangkap secara berasingan ketika pemeriksaan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di Mujong, Kapit pada 13 November lalu bagi mengekang kegiatan perdagangan daging hidupan liar.

Menurut SFC, dua lelaki ditahan kerana memiliki lebih 30 kilogram (kg) daging rusa dan 6.9 kg organ dalaman haiwan berkenaan, termasuk 5.5 kg daging Binturong.

"Manakala seorang ditangkap kerana memiliki tujuh kg daging landak dan seorang lagi memiliki 37 kg daging babi hutan.

"Mereka disyaki membawa daging haiwan liar berkenaan untuk menjualnya ke luar Kapit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, SFC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana orang yang didapati memperdagangkan dan membunuh hidupan liar.

Malah, katanya tiada kelonggaran diberikan walaupun terhadap masyarakat yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.

"Setiap orang diperlakukan sama di bawah undang-undang. Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tidak membenarkan penjualan haiwan liar termasuk spesis yang dilindungi.

"Ini adalah kesalahan yang boleh dihukum, sama ada menjual atau membeli daging haiwan liar," katanya.

Bagaimanapun, katanya penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman adalah dibenarkan untuk memburu haiwan liar bagi kegunaan sendiri, tetapi bukan untuk diperdagangkan.

"Ini untuk memastikan masyarakat luar bandar terus mendapat makanan yang mereka perlukan," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 2:33pm
d