mutakhir

Bekas CEO syarikat sarung tangan didakwa pecah amanah [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Shah Alam: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat sarung tangan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 11 pertuduhan tuntutan palsu dan pecah amanah berjumlah keseluruhan RM145.28 juta di antara 2013 hingga 2018.

Tertuduh, Lee Son Hong, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Son Hong didakwa dengan niat telah memperdayakan invois mesin membuat sarung tangan atas nama Tower Success Group Ltd bernilai RM8.38 juta.

Perbuatan itu dilakukan di WRP Asia Pasific Sdn Bhd, Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang di antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa dengan lapan pertuduhan pecah amanah berjumlah RM136.9 juta milik syarikat WRP Asia Pasific Sdn Bhd.

Sementara itu, dalam kamar sama, pertuduhan turut dibacakan terhadap isterinya, Too Sooi Keng, 63, yang juga mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan bersubahat berjumlah RM107.9 juta.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah dan bersubahat di syarikat sarung tangan itu bermula Disember 2013 hingga Januari 2018.

Bagi perbuatan itu, pasangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib dan Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mohktar.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam P G Cyril, Datuk D Sethinathan dan Nur Aminahtul Mardiah Md Nor.

Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM1.5 juta untuk kesemua pertuduhan dihadapi suami isteri berkenaan, bersama seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 4 Januari 2021.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 2:38pm
d