mutakhir

10 kluster aktif di Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sebanyak 13 individu disahkan positif Covid-19 yang dicetuskan kluster terbaharu di negeri ini iaitu Kluster Kobena, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan kewujudan Kluster Kobena yang membabitkan daerah Johor Bahru, semalam.

"Kes indeks Kluster Kobena adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dilaporkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

"Sejumlah 111 individu kontak rapat Kluster Kobena sudah disaring, di mana 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri Johor sehingga semalam meningkat kepada sepuluh iaitu Kluster Kobena (mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh), Kluster Parit Kassan (mukim Grisek), Kluster Jeri (mukim Sedili Besar), Kluster Meldrum (mukim Kota Tinggi), Kluster Bayu (mukim Bandar), Kluster Kempas (mukim Tebrau) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sg Johor)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, terdapat 15 kes baharu yang dilaporkan di Johor, semalam.

"Tujuh kes adalah daripada kluster sedia ada termasuk empat kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kobena, tujuh kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes import dari luar negara.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 1,100 kes.

"Sebanyak 946 kes sudah pulih iaitu 86 peratus dari jumlah keseluruhan kes, dengan 132 kes Covid-19 yang aktif sudah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 2:45pm
    d