mutakhir

'Ada pelajar tidak makan satu atau dua hari'

Oleh Mohamad Fais Jusoh

Kuala Lumpur: "Ada antara mereka (pelajar) yang sudah biasa tidak makan satu atau dua hari," kata Nursyamimi Nadia Norazman, 26.

Beliau yang juga guru kaunseling di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor itu berkata, kesempitan dan kesusahan dihadapi pelajarnya menyebabkan dia terpanggil untuk membantu meringankan beban mereka dengan menghulurkan bantuan.

"Saya sangat terkesan dengan kesusahan hidup yang dialami pelajar-pelajar. Ada di antara mereka yang sudah biasa tidak makan satu atau dua hari, mempunyai masalah keluarga dan pelbagai lagi. Saya kemudiannya berkongsi di media sosial berkenaan niat untuk membantu pelajar-pelajar ini.

"Alhamdulillah, saya dikelilingi rakan-rakan dan keluarga yang sangat baik. Ramai yang menyumbang bagi membeli barang keperluan makanan termasuk dalam kalangan guru," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pada mulanya bantuan dihulurkan berbentuk makanan kepada pelajar di sekolah.

"Namun, apabila sekolah ditutup, tetapi disebabkan penutupan sekolah, bantuan diperluaskan dalam bentuk barang keperluan rumah kepada keluarga yang memerlukan dan terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.

"Sebanyak 30 keluarga pelajar mendapat bantuan barangan keperluan asas yang dimulakan sejak Ogos lalu sehingga sekarang," katanya.

Katanya, dia melawati dua hingga tujuh rumah setiap hari bagi menyampaikan sumbangan berkenaan.

"Dengan jumlah wang yang disumbangkan dapat saya agihkan kepada beberapa bahagian iaitu barang kelengkapan seperti pakaian, barangan dapur dan bekalan makanan.

"Niat saya cuma satu, agar pelajar-pelajar ini tidak kelaparan dan tidak malu untuk ke sekolah jika dibuka nanti." katanya,

Tambahnya, agihan bantuan ini dilakukan menggunakan kenderaan sendiri selain turut dibantu suami dan keluarganya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 2:45pm
d