mutakhir

Minyak habis bot hanyut

Oleh Essa Abu Yamin

Muar: Dua nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka hanyut akibat kehabisan minyak dalam kejadian kira-kira 16.2 nautika dari Jeti Parit Karang, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi, kedua-dua mangsa, Johari Jalil, 40, dan Khairul Azmi Mohd Adnan, 37, terselamat selepas ditemui nelayan lain yang melalui kawasan sama.

"Bot fiber yang dinaiki mangsa ditemui terapung kira-kira 16.2 nautika dari jeti berkenaan.

"Mangsa sebelum itu dipercayai keluar dari Jeti Nelayan Sebatu, Sungai Rambai pada jam 11.14 malam tadi sebelum bot mereka kehabisan minyak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Batu Pahat memaklumkan mangsa ditemui selamat oleh nelayan lain sebelum bot mereka ditunda ke Jeti Sungai Rambai, Melaka.

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan pada jam 10.08 pagi, hari ini.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 3:36pm
d