mutakhir

Anggota URB cedera, motosikal ditendang mat rempit

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini, terbabit kemalangan selepas motosikal ditunggangnya ditendang mat rempit yang mahu melarikan diri pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan lumba haram di simpang jalan Kampung Tanjung Berembang di sini, pada 1 pagi sebelum anggota URB terbabit ke lokasi bagi melakukan pemantauan.

"Dua anggota URB ke lokasi dan mendapati sekumpulan penunggang motosikal didapati berpecah selepas menyedari kehadiran polis terbabit.

"Anggota URB bertindak mengejar motosikal berkenaan hingga ke persimpangan Jalan Tok Tuntong sebelum Konstabel Muhammad Aiman Nordin yang berusia 20 tahun terbabit kemalangan.

"Kemalangan itu berlaku selepas seorang pembonceng motosikal berusia 16 tahun yang melarikan diri menendang motosikal ditunggangi Muhammad Aiman hingga menyebabkannya hilang kawalan dan terbalik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di tangan kanan, siku serta calar di bahagian muka.

"Muhammad Aiman terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Remaja lelaki yang menendang motosikal anggota URB terbabit berjaya ditahan sejurus insiden berkenaan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 4:24pm
d