mutakhir

Kempunan upah RM500 hantar daun ketum

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Dua beradik lelaki bersama seorang rakan tidak sempat menikmati upah penghantaran bekalan daun ketum apabila ditahan dalam sekatan Op Covid-19 di Plaza Tol Jawi, di sini, semalam.

Kesemua suspek ditahan di dalam kereta Proton Wira kira-kira 12.30 tengah malam apabila didapati dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pemeriksaan ke atas anggota badan ketiga-tiga mereka tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan lima guni berwarna coklat mengandungi 45 bungkusan plastik lut sinar dipercayai daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 50,000 gram (g) dalam but belakang.

"Berikutan itu, polis menahan suspek berusia 28 tahun bersama adik lelakinya berusia 24 tahun serta rakan lelaki mereka berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mereka mengambil bekalan itu dari seorang kenalan di Bertam, Kepala Batas.

"Mereka kemudian disuruh membuat penghantaran bekalan daun ketum terbabit ke Kuala Lumpur dengan upah sebanyak RM500.

"Semakan ke atas suspek turut mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1982," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 5:26pm
d