mutakhir

PPS pertama dibuka di Kelantan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi penempatan mangsa banjir, selain laluan dan jambatan ditutup berikutan ditenggelami air.

PPS itu dibuka di Masjid Lama Kampung Keroh yang menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga termasuk bayi perempuan tiga bulan selain wanita hamil.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, laluan yang ditutup di Kampung Petaling, Sungai Durian menghala ke Kampung Sedek kerana dinaiki air sehingga empat meter.

"Turut terputus hubungan adalah jambatan yang menghubungkan Kuala Pertang dengan Kampung Kebun Pisang. Setakat ini, Jalan Bukit Sireh; Sungai Durian ke Chenulang; Bukit Arang, dan Kuala Nal masih boleh dilalui," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, 210 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam di daerah itu sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Katanya, pemantau dilakukan berkala terutama di kawasan rendah dan tindakan menyelamat akan dilakukan segera jika perlu.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Kuala Krai, Ruzaidi Che Soh berkata, tidak menolak kemungkinan ada lagi PPS dibuka sekiranya hujan lebat berterusan.

Katanya, pihaknya bertugas dengan Bilik Gerakan Banjir dibuka 24 jam untuk memantau penduduk dibantu agensi keselamatan lain serta ketua kampung dan Rela.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengumumkan amaran cuaca buruk peringkat jingga di negeri pantai timur dengan Kelantan membabitkan Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Bachok dan Kuala Krai.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 6:06pm
d