mutakhir

Tahniah Nur Izyan...

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Dir, di sini, Nur Izyan Mohd Fauzi melakar sejarah apabila muncul johan Pertandingan HIP Speaking eKelas secara dalam talian Kategori Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, semalam.

Pertandingan dianjurkan syarikat telekomunikasi, Maxis bermula 1 Ogos sehingga 30 September itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tempat kedua dan ketiga diraih murid SK St John Taee, Sarawak, Christable Angel dan Calista Shannon Jaboh.

"Saya bagaikan tidak percaya selepas cikgu memaklumkan saya muncul juara kerana persaingan cukup sengit daripada peserta seluruh negara.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini hasil didikan ibu bapa, guru dan tidak ketinggalan tunjuk ajar daripada rakan sekelas. Hadiah kemenangan RM500 ini akan digunakan untuk tujuan pendidikan," katanya.

Guru Besar SK Tok Dir, Mohd Nasir Yusof berkata, Nur Izyan, 12, adalah murid cemerlang di sekolah dan sentiasa menunjukkan komitmen dalam pembelajarannya walaupun belajar dalam talian ketika penutupan sekolah kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kemenangan murid yang tinggal di Taman Sena Rendang, Bukit Payong, Marang itu turut mendapat perhatian daripada Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong turut mengucapkan tahniah melalui akaun Facebook.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 6:09pm
d