mutakhir

Paderi ditahan bantu siasatan kes cabul

Oleh BERNAMA

Butterworth: Polis menahan seorang paderi warga Korea bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan beberapa mangsa, yang kesemuanya lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, lelaki berusia 54 tahun yang juga seorang OKU itu ditahan di sebuah gereja di Pulau Pinang pada 8.30 malam susulan laporan polis diterima, termasuk daripada beberapa mangsa di dua di daerah Seberang Perai Utara.

"Di Pulau Pinang, polis terima beberapa laporan membabitkan semua mangsa lelaki yang merupakan OKU, antaranya bisu dan pekak berhubung kejadian cabul itu dan saya difahamkan terdapat (beberapa) laporan di negeri lain berhubung insiden sama.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kami turut merampas telefon bimbit daripada paderi yang juga OKU bisu serta pekak bagi membantu siasatan, saya minta orang tidak buat sebarang spekulasi… biar kami jalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, lelaki yang bertugas sebagai paderi di sebuah gereja itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 6:18pm
d