mutakhir

PM kagum semangat pemandu e-hailing, penghantar makanan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, bertemu sekumpulan pemandu dan penghantar makanan syarikat e-hailing, Grab.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Pemandu Grab Petaling Jaya pada tengah hari itu bagi mendengar luahan, peranan dan pandangan mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negara ini.

Muhyiddin menerusi Facebook rasminya memaklumkan bangga dengan semangat dan dedikasi mereka mencari rezeki demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, rata-ratanya menjadi pemandu dan penunggang Grab bagi menampung kehidupan sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik serta stabil.

"Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari. Ramai juga yang menjadi pemandu atau rider (penghantar) sepenuh masa selpas hilang pekerjaan tetap.

"Sebelum Covid-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan, sekarang mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.

"Sekarang ini, kalau dapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar.

"Ada yang memberitahu daripada tidak buat apa, lebih baik bekerja sebagai pemandu Grab sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan dan membantu keluarga," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut bertemu pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) dan mengakui kagum dengan pasangan terbabit yang menjadi pemandu tanpa menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk mencari rezeki.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan bagi mengkaji semula beberapa perkara termasuk bantuan kerajaan seperti subsidi minyak kepada kumpulan berkenaan.

"Mereka meminta kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen vokasional (PSV) yang dikatakan amat ketat dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain.

"Kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan LPS dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman serta bungkusan atau p-hailing yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan sedikit masa lagi," katanya.

Katanya, beliau akan meminta kementerian meneliti semula perkara itu pada kadar segera.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 8:12pm
d