mutakhir

KD Mahawangsa usir 25 bot nelayan Indonesia

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir 25 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 25 batu nautika barat daya hingga 52 batu nautika selatan Pulau Perak, kelmarin dan semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat pada kenyataan berkata, KD Mahawangsa yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pejarak mengesan semua bot terbabit yang masuk secara berasingan.

"Ketika pemantauan di Selat Melaka kelmarin, anggota mengesan lima bot nelayan asing tidak memiliki nombor pendaftaran pada jam 7.45 malam lalu mengusir semua bot itu keluar.

"Seterusnya, daripada jam 8 pagi hingga jam 1 tengah hari semalam, KD Mahawangsa mengesan 13 bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika barat daya Pulau Perak dan turut diusir keluar," katanya.

Menurut kenyataan, KD Mahawangsa yang menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jam 4 petang semalam, mengesan tujuh bot nelayan asing di kedudukan kira-kira 52 batu nautika selatan Pulau Perak sebelum mengusir kesemua bot terbabit keluar dari perairan negara.

Kapal TLDM beroperasi 24 jam sehari bagi menyokong hasrat dan aspirasi negara untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam mencegah penularan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 8:36pm
d