mutakhir

Rokok putih bernilai RM1.94 juta dirampas

Oleh Amir Mamat

Melaka: Usaha menyeludup 2.6 juta batang rokok putih bernilai RM1.94 juta ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, Jumaat lalu.

Rampasan 260 kotak besar bahan larangan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa JKDM negeri dalam operasi khas di Kota Rembau, Negeri Sembilan selepas melakukan intipan lebih seminggu lalu.

Pengarah JKDM Melaka Siti Zaleha Mohd Said berkata, cubaan penyeludupan rokok itu berjaya dipatahkan selepas pihaknya menahan sebuah lori seberat tiga tan yang membawa muatan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok seludup terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat.

"Susulan itu, seorang pemandu lori berusia 37 tahun yang juga warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976," katanya ketika sidang media kejayaan menumpaskan penyeludupan rokok di Kompleks Kastam di Ayer Keroh, hari ini.

Sementara itu, Siti Zaleha berkata, bagi tempoh Januari sehingga semalam, sebanyak 92 kes membabitkan 14.9 juta batang rokok yang dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM11.3 juta.

Menurutnya, daripada jumlah kes terbabit sebanyak 16 kes sudah didakwa di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang awam memberi kerjasama membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

"Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM atau hadir memberi maklumat kepada JKDM terdekat," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 9:59pm
d