mutakhir

KKM beri pelepasan awal - Jeffrey

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjelaskan beliau hadir ke Parlimen hari ini untuk mengikuti persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat pelepasan awal Kementerian Kesihatan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau diberi pelepasan daripada menjalani pemantauan dan pemerhatian mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, beliau menerima surat pelepasan bertarikh 23 November yang ditandatangani pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai di ibu negara.

"Mana-mana individu yang menjalani kuarantin kendiri boleh memohon untuk pelepasan awal, tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan selepas menjalani saringan kesihatan.

"Sehubungan itu, tiada isu tidak mematuhi peraturan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Isu 'double standard' juga tidak timbul kerana pelepasan awal itu bukan hal politik," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, keputusan itu dibuat Kementerian Kesihatan selepas melakukan beberapa ujian calitan Covid-19 dan darah terhadapnya sejak ketibaannya di Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Berikutan itu, Jeffrey menafikan dakwaan yang turut mengatakan beliau masih berada di Kota Kinabalu pada 13 November lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat bertujuan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin.

Hari ini, Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Mohd Azis Jamman membangkitkan kehadiran Jeffrey di Dewan Rakyat yang disifatkannya bertentangan dengan arahan kuarantin wajib 14 hari ditetapkan Kementerian Kesihatan terhadap mereka yang datang dari Sabah.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 10:32pm
d