mutakhir

Kaedah fertigasi gantung bawa untung di musim tengkujuh

Oleh BERNAMA

Dungun: Kaedah fertigasi bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kerugian dan kerosakan pada tanaman, malah terbukti membolehkan petani mendapat keuntungan berganda pada musim tengkujuh.

Tinjauan Bernama di beberapa kebun sekitar Dungun mendapati, petani menggunakan kaedah fertigasi gantung untuk 'menyelamatkan' tanaman diusahakan mereka.

Bagi Wan Abd Rahim Wan Jalil, 48, musim tengkujuh mampu memberi pulangan lumayan kepadanya meskipun pengeluaran hasil sayur-sayuran merosot sehingga 40 peratus.

"Biasanya, petani menggunakan kaedah konvensional berhenti menanam sayur ketika tengkujuh bermula.

"Oleh itu, petani menggunakan kaedah fertigasi gantung akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk memasarkan hasil tuaian bagi menampung keperluan dan sudah pasti harganya meningkat berlipat kali ganda," katanya ketika ditemui Bernama kebunnya di Kampung Tebing Tembah dekat Paka, di sini, hari ini.

Wan Abd Rahim mula bergelar petani pada 2006 dengan permulaan 3,000 polibeg sayur-sayuran seperti timun dan cili sakata S461.

Sehingga kini, beliau mempunyai 25,000 polibeg sayur-sayuran di dua kebun berasingan dengan bantuan empat pekerja.

"Biasanya, bermula November hingga akhir Februari adalah tempoh paling 'kritikal' bagi saya kerana pendapatan sepanjang empat bulan itu bergantung kepada hasil tuaian sama ada menjadi atau tidak.

"Pernah alami kerugian sebelum ini kerana serangan serangga berlaku apabila kerja meracun tidak boleh dijalankan ketika hujan lebat. Alah bisa tegal biasa, saya belajar daripada pengalaman dan sentiasa berusaha mengatasi masalah agar masih boleh meneruskan projek tanaman sepanjang tengkujuh," katanya.

Ketika ini, harga cili sakata S461 mencecah RM20 untuk sekilogram berbanding hanya RM10 hingga RM12 sebelum ini manakala timun dan terung ialah RM4 setiap kg berbanding RM2 sebelum ini.

Seorang lagi petani, Yusuf Harun, 27, berkata beliau tetap meneruskan projek tanaman timun sejak tiga minggu lalu menggunakan kaedah fertigasi gantung.

"Namun, disebabkan hujan terlalu lebat, tumbesaran pokok agak terbantut kerana tiada cahaya matahari dan hasil tuaian tidak dapat diambil pada tempoh sepatutnya.

"Saya perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga minggu lagi untuk menunggu timun matang.... walaupun agak lambat, saya reda kerana hanya ini sahaja sumber pendapatan ketika ini," katanya yang mengusahakan dua kebun di lokasi berbeza bersama seorang lagi abangnya.

Ditanya sama ada tumbesaran tanaman terbantut itu melemahkan motivasinya, Yusuf berkata, kekecewaan tetap ada namun sebagai petani, beliau tetap meneruskan projek mengikut jadual dirancang.

"Kalau tidak disebabkan tengkujuh, ada pula faktor lain seperti serangan kulat dan serangga...yang penting kita tetap berusaha dengan memanfaatkan teknologi baharu sesuai peredaran zaman," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 10:54am
d