mutakhir

Lupus rokok seludup, arak tidak bercukai RM2.5j [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis Johor melupuskan rokok seludup dan arak tidak bercukai dianggarkan bernilai RM2.5 juta, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelupusan itu membabitkan 30 kes sudah selesai daripada sudut siasatan dan pendakwaan, selain mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes itu, 12 kes dari daerah Johor Bahru Selatan dengan nilai rampasan RM820,000 manakala 10 kes adalah Iskandar Puteri dengan nilai rampasan RM916,618.

"Sebanyak lapan kes pula dari Seri Alam dengan nilai rampasan RM763,382 membabitkan jumlah tangkapan 36 individu berusia 26 hingga 53 tahun iaitu Johor Bahru Selatan (12), Iskandar Puteri (15) dan Seri Alam (9).

"Sepanjang 2018 hingga Oktober lalu, sebanyak 467 siri serbuan, tangkapan dan rampasan membabitkan penyeludupan rokok serta arak tidak bercukai dijalankan di seluruh Johor.

"Sebanyak 162 daripada jumlah itu disiasat di Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Seri Alam iaitu kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Akta Kastam 1967 digunapakai bagi kes berkenaan dan pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya kes seumpama itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurutnya, kertas cadangan sudah siap dan pihak Bukit Aman akan membentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki didakwa melemparkan tuduhan terhadap integriti Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor.

"Individu itu ditahan di kediamannya di Taman Pasir Mas, Rantau, Negeri Sembilan pada 9 malam, Isnin lalu, bagi kes lain berkaitan mengugut anggota polis pada 2017 yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Kangkar Pulai selepas gagal membayar jaminan sebanyak RM10,000," katanya.

Terdahulu, lelaki berusia 39 tahun itu didakwa berbuat demikian melalui video dimuat naik dalam Facebook badan bukan kerajaan (NGO) berdurasi 17 minit 39 saat pada 20 November lalu, dengan mendapat tontonan kira-kira 200,000 kali dan dikongsi lebih 1,000 pemilik akaun.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 12:31pm
d