mutakhir

Denda RM50,000 benar PATI kerja di tapak binaan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tindakan seorang lelaki membenarkan 10 warga asing tanpa permit berada di tapak pembinaan miliknya membawa padah apabila didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Selain itu, tertuduh, Wong Kwok Yeong, 47, turut berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan selepas membayar denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.

Wong didakwa membenarkan 10 dua imigran haram iaitu lima lelaki Pakistan, tiga lelaki Indonesia dan dua lelaki Bangladesh yang berusia antara 22 hingga 53 tahun untuk masuk atau tinggal di dalam premisnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah tapak pembinaan di Pulau Perhentian, Besut, jam 12.25 tengah hari pada 7 Oktober lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap imigran haram yang berada di premisnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Fitri Mokhtar.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 1:35pm
d