mutakhir

Langgar SOP punca kluster Covid-19 meningkat di Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Penyumbang utama kluster Covid-19 baharu di negeri ini yang dilaporkan dikesan akibat sikap segelintir masyarakat yang mula tidak peka terhadap keperluan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, pematuhan terhadap SOP terutama pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan membasuh tangan dengan kerap atau menggunakan cecair pembasmi kuman adalah langkah yang perlu sentiasa diamalkan dalam memutuskan rantaian wabak berkenaan.

"Kebanyakan kes kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan berkait rapat dengan majlis sosial seperti kenduri, perjumpaan beramai-ramai selain majlis di rumah ibadah.

"Pada masa situasi Covid-19 masih lagi membimbangkan, masyarakat dinasihatkan untuk kurangkan aktiviti sosial yang tidak mematuhi SOP supaya ia dapat mengurangkan risiko penularan di kalangan keluarga dan kenalan.

"Kerajaan Johor sangat berharap masyarakat di negeri ini sentiasa mematuhi SOP majlis sosial yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Masyarakat tidak lagi mengelakkan 3 S, iaitu mengelakkan pergaulan di kawasan sempit, mengelakkan keadaan Sesak dan mengelakkan Sembang rapat dan ini menyebabkan risiko penularan wabak semakin tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 1:57pm
    d