mutakhir

4 ditahan tetak rakan

Oleh Essa Abu Yamin

Tangkak: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai terbabit dalam kes tetak rakan senegara mereka dalam kejadian di kebun pisang dekat Grisek, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintenden Mohd Fadhil Minhat berkata, semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan jam 4.20 petang kelmarin di kawasan kebun pisang di Grisek.

"Polis merampas satu sabit kecil yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa tetak berkenaan dimasukan ke wad kecemasan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar kerana mengalami kecederaan parah di kepala disyaki dipukul dan ditetak," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam serbuan terbabit polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun kerana disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

"Semua suspek akan ditahan reman mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah dan Akta Imigresen 1959/63.

"Dengan penangkapan semua suspek berkenaan, pihak polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang daripada 24 jam," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 1:57pm
d