mutakhir

Polis siasat semula kematian Teoh Beng Hock

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung kes Teoh Beng Hock yang ditemukan mati pada 16 Julai 2009 mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).

Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, memaklumkan kertas siasatan sebelum ini sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 24 Februari lalu dan PDRM diminta untuk meneruskan siasatan.

"PDRM diminta mengemukakan kembali kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara selepas siasatan lengkap dijalankan.

"Polis sudah menjalankan rakaman percakapan ke atas 13 orang saksi dan siasatan masih berjalan," demikian menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status terkini kes kematian Teoh, selain meminta jumlah saksi yang sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Teoh ditemukan mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 18 November tahun lalu, PDRM menubuhkan pasukan siasatan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian Teoh susulan arahan Peguam Negara pada 16 Julai tahun lalu supaya kes yang sebelum ini diklasifikasi sebagai mati mengejut itu disiasat semula mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:23pm
d