mutakhir

Sultan Johor kurniakan kereta kepada doktor, matron HSA

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Selepas menghadiahkan 10 kereta Myvi kepada jururawat Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada September lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengurniakan kereta kepada Pengarah dan kakitangan wad berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook Baginda, pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Antara yang menerima kenderaan itu ialah Pengarah HSA, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad; Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr. Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr. Mohd Firdaus Shamsuddin masing-masing menerima sebuah Proton X70.

Manakala Ketua Penyelia Jururawat, Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat, Fauziah Sulaiman masing-masing menerima sebuah Perodua Myvi.

Kenderaan diserahkan oleh Datuk Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim.

Menurut Dr Mohtar, pihaknya mengucapkan terima kasih atas kurniaan yang diberikan.

"Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan Baginda ini kepada patik dan kakitangan sekalian.

"Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat Diraja sentiasa sihat sejahtera. Insya-Allah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:35pm
d