mutakhir

Warga Bangladesh ditemukan mati

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan mati di tingkat atas rumah sewanya di Taman Damar, di sini, semalam.

Mayat mangsa berusia 27 tahun itu ditemukan rakan serumahnya berkenaan pada 8.30 pagi, dalam keadaan leher terjerut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa tinggal seorang diri dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan sejak dua minggu lalu manakala rakan lain tinggal di tingkat bawah.

Katanya, kejadian disedari seorang rakannya yang sedang menunggu untuk ke tempat kerja sebagai buruh kontrak membina jalan.

"Rakan mangsa yang tidak sedap hati bergegas ke tingkat atas rumah sewa itu untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik membuka pintu bilik yang tidak berkunci, dia melihat mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit yang mengganggu fikiran hingga boleh bertindak demikian.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan akibat dari perbuatan jenayah dan keterangan saksi juga tiada unsur-unsur itu," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:36pm
d