mutakhir

Ibu pantang sengal badan harung air banjir [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Sudah tiga hari mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) namun, Nor Syafika Mat Lehat masih terkenang kekalutan dia dan keluarganya berpindah disebabkan kediaman mereka di Kampung Batu 8, Changkat Jong di sini, dinaiki air.

Dia yang masih berpantang selepas melahirkan anak ketiga, Muhamad Aqib Syahmi Syahrul Syafiq, 40 hari yang lalu terpaksa bertahan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan kerana banjir belum surut.

Nor Syafika, 30, berkata, pengalaman itu tidak mungkin dilupakan apabila dia terpaksa mengharung banjir sejauh 50 meter untuk ke tempat selamat.

"Saya tinggal di Hutan Melintang dan berpantang di rumah emak (Saadiah Yaacob, 65) selepas bersalin di Hospital Teluk Intan. Turut ada bersama sama dua lagi anak berusia empat dan tujuh tahun.

"Kami memang tidak sangka banjir kerana sebelum ini, jika air naik pun akan surut cepat. Tapi hujan lebat yang berterusan sejak tengah malam Isnin menyebabkan air naik mendadak, tidak surut.

"Saya terpaksa berjalan perlahan meranduk air banjir dan titi untuk menyeberangi longkang. Muhammad Aqib pula didukung abang saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Akuinya, ketika itu dia bimbangkan keselamatan diri dan keluarga namun menguatkan semangat serta bersyukur dibantu ahli keluarga lain.

Katanya, berpantang di PPS menjadi pengalaman baharu buatnya apatah lagi dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Kalau ikutkan tidak selesa berpantang di sini tetapi demi keselamatan, saya terpaksa. Bayi tidak meragam cuma badan saya yang sengal dan sejuk mungkin kerana meranduk air," katanya yang berurut dan menyapu minyak panas untuk kelegaan.

Selain Kampung Batu 8, kampung lain yang terjejas banjir termasuk Kampung Batu 9; Lorong Kedah, Batu 8; Kampung Baru Batu 8; Lorong Mesra Batu 7; Batu 7 1/2 dan Lorong Sidang Osman.

Banjir berlaku susulan limpahan air Sungai Bidor dan setakat 8 pagi, paras sungai catat 3.68 meter.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:52pm
d