mutakhir

Kedah cadang PKPD di perumahan, mukim Sungai Seluang

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan Kedah mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa kawasan perumahan di mukim Sungai Seluang, Kulim bagi memutuskan rantaian Covid-19, susulan Kluster Bayam Indah yang diumumkan Sabtu lalu.

Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain, semalam.

"Kita ada peningkatan kes Covid-19 dengan kemunculan Kluster Bayam Indah selepas 12 kluster sebelum ini tamat. Ada 50 kes positif daripada kluster ini, jadi kita cadangkan MKN laksanakan PKPD dan keputusan mengenainya akan diketahui sama ada petang ini atau esok.

"PKPD ini perlu kerana Kulim mempunyai kepadatan penduduk cecah 329,000, manakala 17,000 penduduk saja di Sungai Seluang.

"Radius kawasan yang berisiko berlaku penularan membabitkan tujuh hingga lapan taman perumahan yang terdiri daripada 1,412 rumah yang penduduknya seramai 6,000 orang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, cadangan itu turut dibuat bagi mengelak penularan wabak ke kawasan perindustrian di Kulim Hitech yang menjadi penjana ekonomi negara, selain melindungi 30,000 pekerja tempatan.

"Kita tak mahu Covid-19 ini merebak ke kawasan kilang hingga menjejaskan operasi pengeluaran kilang seperti di Selangor, kita tak mahu kilang ini kena tutup dan beri kesan yang lebih besar.

"Kerajaan negeri ambil pengalaman di Aman Jaya, Sungai Petani akibat Kluster Tawar sebelum ini yang mana, penularan mudah berlaku dengan kepadatan penduduk yang tinggi," katanya yang meminta penduduk di Kulim mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 3:29pm
d