mutakhir

Empat wanita ditahan jual pakaian berjenama tiruan

Oleh BERNAMA

Bukit Kayu Hitam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis merampas pelbagai jenis pakaian berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM95,400 dalam serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Taman Enyum, Arau, semalam.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, serbuan pada 10.30 pagi itu dibuat susulan aduan daripada wakil pemilik cap dagang serta risikan yang dijalankan pihaknya ke atas aktiviti penjualan pakaian itu yang dilakukan secara dalam talian.

Katanya, seorang wanita berumur 21 tahun yang disyaki pemilik premis bersama tiga wanita lain berumur lingkungan 20-an yang juga pekerja di premis terbabit turut ditahan.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan di premis tersebut bersama wakil pemilik cap dagang, kita menemukan 3,180 pasang pakaian pelbagai jenama yang disyaki menggunakan suatu cap dagangan berdaftar dengan salah.

"Premis itu dipercayai dijadikan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran dengan modus operandi mereka ialah mengiklankan pakaian itu menerusi siaran langsung di Facebook dan juga aplikasi Telegram sebelum diedarkan kepada pembeli," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Norazah berkata, pakaian yang dijual pula adalah lebih murah berbanding produk asli dan mereka turut dipercayai menggunakan ejen atau stokis untuk menjual pakaian tiruan itu secara dalam talian ke seluruh tanah air sejak setahun lepas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan, bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 3:43pm
d