mutakhir

Speaker 'diserang' Ahli Parlimen [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Had masa yang singkat dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat menjadi modal untuk beberapa Ahli Parlimen 'menyerang' Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ia bermula selepas beberapa orang Yang Berhormat mahu bertanya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamarudin ketika selesai menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat kementeriannya hari ini.

Azhar terus meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Abd Latiff Ahmad menggulung, menyebabkan ia dibantah beberapa Ahli Parlimen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR- Port Dickson) meminta masa diberikan kepada mereka untuk bertanya kepada menteri.

Anwar: Dua minit begitu penting Yang di-Pertua. Tolong fikir, bahawa tempat ini, saya ulang, bukan tempat untuk dengar saja, tapi untuk bahas

Azhar: Yang Berhormat begini..faham

Anwar: Yang Berhormat selalu sebut faham tapi Yang Berhormat tak faham

Azhar: Saya faham

Anwar: Kalau faham, bagi kelonggaran sedikit, lima minit, tujuh minit tak boleh

Azhar: Saya rasa Yang Berhormat yang tak faham. Yang Berhormat…begini perbahasan dah tamat, sekarang waktu menteri menjawab

Anwar: Apa dah tamat, orang bangun tak boleh jawab. Saya tak setuju Yang di-Pertua ambil sikap terlalu keras menghalang ahli yang berhormat bangkit, ini isu penting. Saya bantah

Azhar: Perbahasan dah tamat. Pencelahan cuma mengikut peraturan mesyuarat, pencelahan adalah cuma untuk penjelasan, dan bukan untuk perbahasan lagi.

Beliau berkata, pencelahan untuk penjelasan hanya boleh dibuat jika dibenarkan oleh menteri.

"Kalau dibenarkan oleh Yang Berhormat menteri, maka itu boleh dibuat.

"Kalau tidak dibenarkan, maka tidak boleh dibuat. Kalau pun dibenarkan, cuma untuk penjelasan, bukan perbahasan lagi. Perbahasan dah tamat," katanya.

Azhar kemudian meminta Abd Latiff meneruskan penggulungan memandangkan lebih ramai menteri akan berbahas hari ini.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 3:49pm
d