mutakhir

Banjir di Kuala Krai pulih

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Banjir di Kuala Krai pulih sepenuhnya selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam ditutup pada 1 tengah hari tadi.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Kuala Krai Ruzaidi Che Soh berkata, ia berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik dengan hanya sesekali hujan renyai.

"Kesemua 14 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil dan PPS di Masjid Lama Keroh, Kuala Krai sudah dibenarkan pulang sekitar tengah hari tadi.

"Alhamdulillah, keadaan cuaca dilihat semakin bertambah baik selain air di rumah mereka yang terbabit juga sudah surut dan selamat untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Kita juga berharap cuaca akan berterusan bertambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 4 petang, Sungai Kelantan di Kuala Krai menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 21.37 meter berbanding paras biasa 20 meter namun ia menunjukkan trend menurun.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Kusial Baru, Tanah Merah juga menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 13.22 meter berbanding paras biasa 12.5 meter dengan trend menurun.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas juga menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 7.92 meter berbanding paras biasa 7 meter.

Sementara, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad ketika dihubungi mengesahkan setakat petang ini, jalan utama di daerah Kuala Krai masih dibuka seperti biasa dan boleh dilalui kenderaan awam.

Cuaca di seluruh Kelantan pada sebelah petang adalah mendung dengan sesekali hujan renyai.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 5:32pm
d