mutakhir

Kontraktor MBPP cuci pantai tercemar minyak

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kerja pembersihan pesisir Pantai Paramount berhampiran bangsal nelayan di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, yang tercemar dengan tumpahan minyak dilakukan kontraktor dilantik oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MBPP dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya juga sudah melakukan tinjauan dan siasatan berhubung pencemaran itu.

Dakwanya, insiden itu terkawal dan usaha mengenal pasti punca pencemaran sedang dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"MBPP memandang serius insiden ini dan akan terus memantau keadaan pencemaran dari semasa ke semasa. Tindakan tegas juga akan diambil ke atas individu atau syarikat yang melakukan perbuatan itu," kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, JAS dalam siasatan awalnya mendapati kesan pencemaran akibat tumpahan minyak kira-kira dua kilometer (km) pantai itu sangat minimum dan tidak serius.

Pemantauan menggunakan dron lebih 1km juga dari pesisir pantai juga tidak menemui tompok tumpahan minyak, menurut Ketua JAS Cawangan Bayan Baru, Ramli Manap.

Bagaimanapun, beliau berkata, sampel air laut sudah diambil semalam dan keputusan akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

"Sehubungan itu, nelayan tidak perlu risau dan boleh turun menangkap ikan seperti biasa. Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana hasil laut dari pantai ini masih boleh dimakan serta tidak beracun," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan nelayan menemui tumpahan minyak hitam di sepanjang kira-kira dua kilometer pesisir pantai itu ketika hendak turun ke laut sekitar 6.30 pagi.

Berita berkaitan

Tumpahan minyak hitam cemar pesisir pantai [METROTV]

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 8:20pm
d