mutakhir

KD Mahawangsa usir 2 bot nelayan Indonesia [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dua bot nelayan Indonesia diusir keluar selepas menceroboh perairan negara kira-kira 71 batu nautika barat laut Pulau Jarak, semalam.

Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan berkata, kapal TLDM KD Mahawangsa dimaklumkan oleh pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan beberapa bot nelayan asing berkenaan ketika rondaan operasi Op Benteng Laut dan Op Pejarak di Selat Melaka.

"KD Mahawangsa seterusnya belayar menuju ke lokasi berkenaan dan mendapati dua bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengibarkan bendera Indonesia berada di posisi yang dikesan pada 5.49 petang.

"KD Mahawangsa seterusnya mengusir dua bot berkenaan dengan mengiringi bot-bot tersebut sehingga keluar dari perairan negara pada 6.45 petang," katanya.

Menurutnya, TLDM sentiasa memperkasakan OP Benteng bersama pelbagai agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24/7 adalah bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 11:25am
d