mutakhir

Kesan penduduk Medan 88 'hilang' [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Polis akan meneruskan usaha mengesan penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang menghilangkan diri daripada menjalani ujian saringan Covid-19 ketika premis perniagaan ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penduduk 'hilang' ini akan dikesan melalui majikan yang mula membuka semula premis perniagaan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi mendapatkan maklumat daripada majikan dan mereka yang tidak menjalani ujian saringan akan diarah berbuat demikian.

Katanya, maklumat majikan itu penting bagi mendapatkan jumlah sebenar penduduk dan polis tidak mengenakan sebarang tindakan undang-undang kepada mereka yang 'hilang' kerana ia adalah pemeriksaan kesihatan dan bukan keselamatan.

"Pada awalnya penduduk Medan 88 ini dianggarkan sekitar 700 ke 800 orang dan mereka bukannya melarikan diri,sebaliknya ada di kalangan mereka yang masih bekerja di luar kawasan dan merasa panik untuk pulang selepas kawasan ini dikepong pada 10 November lalu," katanya ketika membuat pemantauan penutupan PKPD Medan 88 BBST, hari ini.

Premis perniagaan Medan 88 dikenakan PKPD bermula 12 November lalu dan berakhir 12 tengah malam tadi selepas 44 individu daripada 133 penduduk yang menjalani ujian saringan sebelum PKPD didapati positif.

Sepanjang PKPD, 43 penduduk 'hilang' pulang menyerah diri ke Medan 88 terdiri daripada 14 warga tempatan, 19 warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga India, Myanmar dan Nepal.

Wan Kamarul Azran berkata, penduduk memberi kerjasama baik sepanjang premis ini dikenakan PKPD dan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku termasuk cubaan melarikan diri dari kawasan sekatan.

Katanya, jumlah semasa penduduk adalah 386 orang dan selepas ujian saringan kedua, 12 disahkan positif menjadikan jumlahnya 56 orang.

"Sebanyak 142 pekerja premis perniagaan yang tinggal di luar juga mengadakan ujian saringan dan menjalani kurantin di luar ".

"Seramai 138 petugas terdiri daripada polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pejabat Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) juga menjalani ujian saringan dan kesemuanya negatif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 11:33am
    d