mutakhir

2,287 kes siasat penjawat awam dibuka [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan mengenai kesalahan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kertas siasatan itu dibuka sepanjang tempoh 2016 hingga September 2020 dan kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

"Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

"Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dilaksanakan sebagai pencetus usaha pencegahan rasuah, sebagai contoh setiap agensi perlu 'tools' seperti Pelan Pengurusan Risiko Rasuah(CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan 'Anti Bribery Management System' dalam usaha mengekang perlakuan rasuah," katanya.

Takiyuddin menjawab soalan lisan daripada Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR- KAPAR) yang mahu Perdana Menteri menyatakan statistik salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan apakah langkah pencegahan yang sedang dilakukan.

Selain itu, Takiyuddin berkata, sebanyak 139 agensi terbabit dengan CRM dan 40 agensi melalui Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan kerajaan turut mengambil inisiatif untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Perkara ini adalah selaras dengan inisiatif 2.4.7 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 12:51pm
d