mutakhir

Panggil semula Honda Accord dan CR-V

Oleh Lizam Ridzuan

 

Kuala Lumpur: Honda Malaysia mengumumkan untuk memanggil semula kenderaan keluaran mereka sebanyak 2,784 unit daripada model pembuatan tahun 1999 dan 2000.

  Ini adalah untuk penggantian inflator beg keselamatan hadapan pemandu Takata yang selari dengan program Non-Azide Driver Airbag Inflator (NADI) global.

   Model yang terlibat ialah Honda Accord tahun 1999 sebanyak 1,380 unit dan CR-V pembuatan tahun 2000 sebanyak 1,404 unit.

   Melalui siaran media yang dikeluarkan hari ini Honda Malaysia juga menyatakan model semasa yang dijual tidak terjejas dan mereka akan terus mengekalkan ketelusan dan kawalan yang ketat setiap produk yang dihantar kepada pelanggan.

  Panggilan semula ini juga sebagai langkah pencegahan untuk menangani kemungkinan inflator beg keselamatan hadapan pemandu Takata itu mempunyai tekanan dalaman berlebihan dan menyebabkan ia tidak berfungsi dengan betul atau untuk pecah.

  Untuk rekod buat masa ini belum terdapat lagi laporan kejadian seperti itu berlaku di Malaysia untuk model Accord dan CR-V ini.

  Pemilik kenderaan terlibat akan dimaklumkan melalui surat yang akan disertakan dengan perician panggilan semula produk dan menyeru untuk mereka menghubungi mana-mana cawangan pengedar Honda sah di seluruh negara untuk temujanji dan urusan penggantian.

  Semua kos penggantian inflator beg keselamatan hadapan pemandu akan ditanggung sepenuhnya Honda Malaysia dan proses itu juga mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

  Untuk maklumat lanjut pengguna boleh layari lawan sesawang Honda Malaysia di www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 1:08pm
d