mutakhir

Kemas barang sejak September [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Walaupun menjadi satu-satunya daerah yang belum membuka pusat pemindahan sementara (PPS), penduduk di kawasan berisiko akibat banjir di Hulu Terengganu tetap dihantui kebimbangan.

Ia berikutan daerah berkenaan terutama penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan berhampiran sungai boleh dikatakan antara penghuni setia PPS ketika musim tengkujuh.

Tinjauan NSTP mendapati majoriti penduduk di kawasan berisiko banjir sudah membuat persiapan dengan memindahkan barangan seperti pakaian dan perabot ke tempat selamat sejak September lalu.

Malah, kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran sungai turut menyediakan perahu sebagai persiapan untuk berpindah sekiranya air naik secara mendadak.

Penduduk di Kampung Bukit Tadok, Mohd Kamarzaman Isa, 46, berkata, keluarganya sudah mula menyimpan barang ke tempat tinggi sejak September bagi menghadapi musim tengkujuh selain menyediakan perahu bagi membolehkan dia bersama isteri dan dua anaknya berpindah jika kediaman dinaiki air.

"Kami memang wajib berpindah jika musim tengkujuh dan penduduk juga sudah bersedia dengan meletakkan barang-barang di tempat yang tinggi lebih awal.

"Saya juga menyediakan jaket keselamatan untuk dua anak sebagai langkah berjaga-jaga kerana mereka akan bermain air apabila kawasan rumah dinaiki air

"Pihak berkaitan juga sentiasa berhubung dengan kami dan membuat pemantauan setiap kali musim tengkujuh," katanya yang menyifatkan banjir terburuk berlaku pada 1986 apabila dia terpaksa berpindah pada tengah malam.

Bagi Fatimah Idris, 58, mereka tetap dihantui kebimbangan kerana khuatir air akan naik secara mendadak terutama pada waktu malam.

Katanya, tahun ini agak berbeza kerana kampung itu masih selamat dan tiada pemindahan setakat ini walaupun ada penduduk di tujuh daerah lain di Terengganu ditempatkan di PPS.

"Semua barangan penting sudah diletakkan di tempat yang tinggi dan biasanya apabila banjir, memang akan mengalami kerugian akibat kerosakan perabot dan barangan lain termasuk perlu menukar tukar getah dua tahun sekali dengan kos antara RM200 hingga RM300.

"Setakat ini, hanya perkarangan rumah dinaiki air berbanding sebelum ini apabila air naik mencecah sehingga satu meter," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 2:14pm
d