mutakhir

Jenayah terancang Geng Alavandan makan diri

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Polis menumpaskan 'Geng Alavandan' yang disyaki terbabit dengan kejadian rampasan sebuah treler bersama muatan 60 bongkah tembaga bernilai RM300,000 di Bukit Chong, Sungai Karangan dekat sini, pada 15 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian jam 1.24 tengah hari itu, pemandu dan kelindan treler terbabit yang berumur 35 dan 44 tahun sedang dalam perjalanan dari Bukit Selambau ke Sungai Karangan dengan membawa bongkah tembaga dianggarkan berat 18 tan.

"Sampai di tempat kejadian, treler mereka telah ditahan oleh sebuah van berwarna putih yang dinaiki empat lelaki di kawasan Bukit Chong. Kesemua lelaki yang memakai topi dan jaket seperti penguat kuasa kastam telah membawa pemandu dan kelindan menaiki van, manakala treler berkenaan ditinggalkan di tepi jalan.

"Selepas dua jam, kedua-dua mangsa telah ditinggalkan di tepi jalan dan apabila mereka kembali ke tempat treler ditinggalkan, ia telah hilang. Mereka kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Karangan pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, soal siasat ke atas pemandu, kelindan dan seorang penyelia sebuah kilang mendapati berlaku percanggahan dan keraguan dalam keterangan yang diberikan sebelum polis bertindak menahan ketiga-tiga lelaki itu.

"Hasil siasatan, polis telah membuat beberapa serbuan di Sungai Petani dan Kulim di negeri ini serta Bukit Mertajam dan Butterworth, Pulau Pinang bermula 16 November hingga semalam dan menahan 12 lagi lelaki termasuk ketua kumpulan itu yang semuanya berumur antara 21 hingga 62 tahun kerana disyaki terbabit dengan jenayah terancang itu.

"Siasatan lanjut mendapati, jenayah ini telah dirancang oleh dua suspek yang berumur 39 dan 62 tahun. Kesemua bongkah tembaga yang telah dijual kepada sebuah kilang di Kulim dengan bayaran RM100,000 telah dijumpai semula," katanya.

Menurutnya, antara yang dirampas ialah sebuah treler, dua lori, dua jentera pengangkut, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM97,000 dan baki RM3,000 telah digunakan untuk membayar sewa lori.

"Kita sedang mengesan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini, manakala suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 2:58pm
d