mutakhir

Tahan bekas banduan rempuh polis bersama dadah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lelaki dipercayai pengedar dadah yang merempuh kenderaan polis ketika cuba melarikan diri dengan memandu Perodua Myvi, berjaya ditahan kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar berkata, suspek yang juga pekebun berusia 36 tahun itu diberkas bersama dadah bernilai RM74, 900.

Terdahulu suspek sedang memandu ketika ditemui di Kampung Malau, Jitra pada jam 5.30 petang dan dikatakan merempuh kenderaan polis beberapa kali dalam cubaannya untuk melarikan diri.

"Berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan dan anggota JSJN menemui beg galas berisi dadah di atas tempat duduk penumpang hadapan, yang di dalamnya ada 16 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1,675.3 gram (gm).

"Selain itu ada 11 paket lagi berisi 1,532.50 gm dadah jenis heroin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Mohd Zaki berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai lapan rekod berkaitan dadah, dan dipercayai sudah lama terbabit dengan penagihan dadah serta terus aktif walaupun baru keluar penjara awal tahun lalu.

Katanya, suspek dipercayai bergerak solo dan dadah dipercayai untuk pasaran Jitra dan kawasan sekitar.

"Kita turut menyita sebuah Proton Exora, seutas rantai serta loket emas dan wang tunai bernilai RM1,100 selain dadah berkenaan," katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, " katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 3:13pm
d