mutakhir

Bukti UMK kompeten

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik di Asia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings Asia 2021 dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.

Naib Canselornya, Datuk Dr Prof Noor Azizi Ismail berkata, UMK adalah universiti awam dalam Rangkaian Universiti Berfokus (MFUN) iaitu universiti yang berteraskan keusahawanan.

Beliau berkata, sebagai universiti yang menerajui bidang keusahawanan, UMK terus mencatat pencapaian terbaik sebagai sebuah universiti keusahawanan pertama di Malaysia apabila berada dalam kelompok 551 hingga 600 terbaik Asia dan ini adalah pencapaian julung-julung kali UMK di dalam QS World University Rankings Asia 2021.

"Terdapat 11 kriteria dalam pemilihan yang dibuat iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah penuntut kepada fakulti, kakitangan dengan PhD, nisbah sitatsi kepada artikel, nisbah artikel kepada fakulti, jaringan penyelidikan antarabangsa, kakitangan akademik antarabangsa, penuntut antarabangsa dan pertukaran 'inbound' serta 'outbound'.

"Bagaimanapun, kriteria penilaian bagi kakitangan akademik antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UMK apabila berjaya menduduki tempat ke 224 manakala kriteria penilaian bagi kakitangan dengan PhD pula berada pada kedudukan 279 di Asia," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Azizi berkata, kejayaan yang dicapai itu membuktikan bahawa UMK mempunyai kakitangan yang kompeten dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal, teknologi serta keusahawanan.

"Pencapaian ini adalah petunjuk yang baik sekali gus meletakkan universiti di atas landasan yang tepat serta menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkualiti, sejajar dengan perubahan dalam pendidikan negara yang menuju ke arah revolusi industri 4.0.

"Kita mahu melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa dan ia juga secara tidak langsung menjadikan UMK sebagai sebuah institusi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi penuntut antarabangsa," katanya.

Katanya, ia juga sebagai penanda aras bagi membolehkan UMK mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif.

"UMK akan terus melangkah sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang sudah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti berfokus dalam memperkasa bidang keusahawanan di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 4:09pm
d