mutakhir

Penyeludup sanggup berdepan arus deras demi duit [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Cubaan menyeludup keluar atau masuk barang kawalan menerusi Sungai Golok, dekat sini tetap berlaku walaupun ketika banjir melanda.

Malah, penyeludup sanggup merisikokan diri walau berdepan arus deras di Sungai Golok yang menjadi pemisah kedua-dua negara demi memenuhi permintaan tinggi terhadap barang kontraban terutama bahan bakar, beras dan minyak masak.

Pegawai Operasi Risik 1 Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa dapat mengesan pergerakan penyeludup yang bergerak di musim tengkujuh kerana anggota sentiasa menjalankan rondaan.

"Untuk rondaan di sungai yang merangkumi kawasan tanggungjawab sepanjang Pantai Senok, Bachok dan perairan Kuala Takbhai (Tumpat) hingga ke Kubang Pak Itam di Pasir Mas, dua bot ronda akan keluar pada satu-satu masa.

"Selain kawalan di sungai, kami juga ada pasukan risik di darat yang setiap masa menjalankan tugasan tanpa mengira masa," ketika ditemui ketika menjalankan rondaan di perairan Kuala Takbhai di sini, hari ini.

Reduan berkata, selain permintaan tinggi daripada kedua belah negara terhadap barang kawalan, penyeludupan juga sudah menjadi pekerjaan turun temurun individu yang terbabit menyebabkan mereka seolah-olah tidak pernah serik melakukannya walaupun pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dalam tempoh bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Sabtu lalu sehingga semalam, pihaknya menerima tiga kes membabitkan rampasan beras dan petrol dengan anggaran nilai RM1,003.

"Dalam tempoh PKPB dan musim tengkujuh sekalipun penyeludupan tetap berlaku dan kebanyakannya adalah membabitkan barangan keperluan harian.

"Walaupun ada cubaan untuk menyelinap masuk, anggota kami berjaya mengesan kerana PPM bukan hanya di sungai atau laut tapi juga bergerak di darat.

"Tambahan pula bukan sahaja pihak berkuasa di negara kita yang membuat rondaan dan kawalan tapi agensi penguat kuasa dari negara jiran turut menjalankan tugas yang sama," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 4:20pm
d