mutakhir

Cuba langgar polis

Oleh Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Seorang lelaki ditahan polis di pintu masuk keluar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), dekat Behrang, dekat sini, petang semalam, selepas 40 minit dikejar pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam kejadian jam 1.45 petang itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Slim River sedang membuat pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Jalan Kampung Kuala Slim.

Katanya, ketika polis menjalankan tugas, sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan melalui kawasan itu.

"Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan, suspek tiba-tiba memecut laju kereta ke arah pekan Slim River.

"Polis dibantu Pasukan Peronda Polis (MPV) mengejar suspek sehingga ke depan pintu masuk keluar PSAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kejadian terbabit seorang anggota polis MPV memberi amaran kepada suspek supaya memberhentikan kenderaan namun tidak dihiraukan suspek.

Beliau berkata, suspek juga cuba melanggar anggota polis menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan sebelum lelaki berusia 35 tahun itu akhirnya berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan polis di dalam kenderaan suspek menjumpai beg galas mengandungi plastik lut sinar dipercayai untuk membungkus dadah manakala semakan rekod jenayah didapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau.

"Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek pula didapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Sulizmie Affendy berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Suspek juga ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 5:07pm
d