mutakhir

Lima beranak reda tinggal di rumah usang [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Biarpun sudah usang, namun rumah berdindingkan kayu reput yang hampir menyembah bumi itu tetap menjadi tempat berteduh lima beranak di Kampung Dusun Raja.

Apa yang menyedihkan tiang yang menyokong lantai rumah itu juga sudah beralih dari tapaknya dan ia kelihatan seperti tergantung, sekali gus mendedahkan penghuninya kepada risiko.

Mohd Zulkarnain Razak, 31, tinggal di rumah pusakanya itu sejak 20 tahun lalu dan kini bersama isteri, Siti Sarah Hazmi, 32, dan tiga anak mereka yang berusia antara dua hingga 11 tahun.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga serba daif dan dengan pendapatannya yang bekerja sebagai buruh kasar tidak mampu untuk membaiki rumah itu.

"Saya diberi upah sekitar RM60 sehari yang hanya cukup makan. Dalam seminggu saya hanya bekerja dua atau tiga hari sahaja bergantung kepada kerja yang ada. Saya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit buasir yang menyukarkan pergerakan apabila sakit menyerang.

"Dengan pendapatan yang tidak menentu, sememangnya saya tidak mampu membaiki kerosakan rumah ini, makan pun kadangkala terpaksa dicatu, apatah lagi untuk membaikinya. Ada ketikanya kami hanya makan nasi kosong bersama telur dan kicap," katanya.

Mohd Zulkarnain mengakui keadaan rumah yang uzur menyebabkan dia sukar melelapkan mata kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

"Tambahan sudah memasuki musim tengkujuh ini, saya bimbang rumah ini bila-bila masa sahaja boleh roboh. Atap rumah bocor dan papan lantai reput selain ancaman haiwan berbisa menyebabkan saya bimbang keselamatan anak-anak yang masih kecil.

"Disebabkan kesempitan hidup, saya tidak mampu membaiki dan menyediakan kediaman yang selesa kepada isteri serta anak-anak dan terpaksa reda tinggal di rumah usang yang menunggu hari untuk roboh," katanya.

Terdahulu keluarga ini menerima kunjungan daripada Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Masyarakat Bersatu Kelantan, Rozaini Nawawi yang turut menyampaikan sumbangan barang keperluan harian bagi meringankan beban yang ditanggung.

Rozaini berkata, pihaknya akan cuba mencari dana untuk baik pulih rumah keluarga ini bagi memberi keselesaan kepada mereka, terutamanya kepada anak-anak yang masih kecil.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam, 03018021603869 atas nama Siti Sarah Hazmi atau boleh menghubungi Mohd Zulkarnain di talian 01117911517.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 5:43pm
d